Monday, 7 January 2019



PELAN INDUK PEMBANGUNAN PENDIDIKAN (PIPP) 2006-2010 (RMK-9) * Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010

Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010 telah disempurnakan pelancarannya oleh Y.A.B. Datuk Seri Abdullah Bin Hj. Ahmad Badawi pada 16 Januari 2007 bersamaan 26 Zulhijah 1427 di Putrajaya International Convention Centre (PICC),Putrajaya

Klik pada link untuk maklumat lanjut:









DASAR PENDIDIKAN KEBANGSAAN


Latarbelakang
Dalam tahun-tahun menuju kemerdekaan, telah timbul kesedaran di kalangan pemimpin dan rakyat Malaysia tentang betapa mustahaknya diadakan satu sistem pendidikan kebangsaan untuk mengganti sistem pendidikan penjajah bagi memenuhi kehendak negara. Atas kesedaran inilah lahir satu Dasar Pendidikan (Pelajaran) Kebangsaan melalui Penyata Razak 1956 dan dimaktubkan dalam Ordinan Pelajaran, 1957. Dasar pendidikan ini telah disemak semula dalam tahun 1960 yang menghasilkan Laporan Rahman Talib. Laporan Rahman Talib ini kemudian dimaktubkan dalam Akta Pelajaran, 1961.
Kemudian, sebuah Jawatankuasa Kabinet telah ditubuhkan dalam tahun 1974 untuk mengkaji semula Dasar Pendidikan dengan tujuan untuk memperbaiki pelaksanaannya supaya matlamat untuk melahirkan satu masyarakat yang bersatupadu dan berdisiplin serta memenuhi keperluan tenaga rakyat yang terlatih bagi pembangunan negara dapat dicapai. Laporan Jawatankuasa ini telah diterbitkan dalam tahun 1979.

Rasional
Sistem pendidikan di zaman penjajahan telah berkembang tanpa mengambil kira kepada keperluan pembangunan, pembentukan identiti kebangsaan dan perpaduan negara. Sistem Pendidikan berkenaan mengekalkan tumpuan taat setia rakyat pendatang dan keturunan mereka kepada negara asal mereka dan menekan suppress semangat pembangunan rakyat tempatan. Sistem ini mungkin secocok dengan Tanah Melayu yang terjajah tetapi apabila Tanah Melayu sudah merdeka, ia didapati tidak lagi sesuai. Oleh itu, langkah-langkah diambil bagi menggubal satu sistem pendidikan kebangsaan yang sesuai untuk negara yang merdeka dan mempunyai matlamat-matlamat sendiri.

Objektif
Objektif dasar ini dinyatakan dalam Pendahuluan kepada Akta Pelajaran, 1961, iaitu:

"BAHAWASANYA dasar pelajaran seperti yang diisytiharkan dalam Ordinan Pelajaran, 1957 ialah untuk menubuhkan satu sistem pendidikan yang akan dapat memenuhi keperluan negara dan menggalakkan perkembangan kebudayaan, sosial, ekonomi, dan politiknya..." Objektif ini dinyatakan secara am tetapi dalam melaksanakannya, Kementerian Pendidikan dengan berpandukan kepada Penyata Razak 1956 dan Laporan Rahman Talib 1960, telah mentafsirkannya sebagai menyatupadukan kanak-kanak sekolah berbilang kaum dan menyediakan tenaga kerja ("tenaga rakyat," istilah yang digunakan oleh Laporan Jawatankuasa Kabinet) bagi keperluan ekonomi.
Seterusnya, objektif-objektif ini diperkhususkan lagi apabila Jawatankuasa Kabinet ditubuhkan dan bidang tugasnya ditetapkan. Ini mencerminkan hasrat bahawa Dasar Pendidikan diharapkan dapat memenuhi keperluan tenaga rakyat negara ini dalam jangka panjang dan pendek dan melahirkan masyarakat yang bersatupadu, berdisplin dan terlatih.
Falsafah Pendidikan Negara yang diasaskan kepada hasrat serta aspirasi negara dan dinyatakan secara bertulis baru-baru ini memberi penekanan kepada usaha melahirkan insan yang berilmu dan berakhlak, seimbang dan harmonis, yang boleh mencapai kesejahteraan diri dan memberi sumbangan kepada keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara. Ini menjadi satu matlamat penting sistem pendidikan kebangsaan.
Strategi Pelaksanaan
Beberapa strategi telah digubal untuk mencapai matlamat Dasar Pendidikan yang telah ditetapkan seperti berikut:

(a)  Menjadikan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar yang
utama;
(b)  Mengadakan kurikulum yang sama dan berorientasikan Malaysia
bagi semua jenis sekolah;
(c)  Mewujudkan sistem peperiksaan yang sama bagi semua;
(d)  Melicinkan tatacara pengurusan pendidikan;
(e)  Meningkatkan mutu pendidikan keseluruhannya dengan menyediakan  pendidikan yang menyeluruh, seimbang dan bersepadu;
(f)    Mengadakan peluang pendidikan asas selama sembilan tahun;
(g)   Mendemokrasikan pendidikan dari segi peluang dan mutu dengan
mengagihkan peruntukan secara adil dan memberi perhatian khas kepada  kumpulan yang kurang bernasib baik dan kawasan luar bandar atau pendalaman;
(h)   Menyediakan pendidikan rendah mengikut Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) yang berasaskan 3M iaitu membaca, menulis dan mengira pada  tahun 1983 yang menjurus kepada kurikulum bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) pada tahun 1989. Matlamat utama kurikulum baru ini adalah untuk melahirkan individu yang seimbang dari segi ilmu pengetahuan dan kemahiran yang sesuai dan mempunyai moral serta nilai etika yang kukuh;

(i)   Memperluaskan pendidikan Vokasional dan Teknik melalui
penyusunan semula kurikulum Sekolah Vokasional pada tahun 1978;

(j)   Mempelbagai dan memperbanyakkan kemudahan pendidikan di
peringkat universiti terutama dalam bidang sastera gunaan dan sains gunaan;

(k)   Mempertingkatkan pendidikan kerohanian, moral dan disiplin;

(l)   Menjadikan Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Inggeris sebagai mata
pelajaran yang wajib diajar di sekolah-sekolah dan memberi peluang yang sempuma bagi pembelajaran bahasa-bahasa lain seperti Bahasa Cina dan Bahasa Tamil; dan

(m)   Menggalakkan aktiviti ko-kurikulum yang memupuk disiplin,
  seperti pasukan-pasukan kadet tentera, kadet polis, pengakap, puteri Islam dan lain-lain.
Di samping strategi ini, Dasar Pendidikan Kebangsaan juga dilaksanakan dengan mengada dan memperkembangkan tenaga pengajar yang terlatih dan juga mendirikan sekolah-sekolah selaras dengan pertambahan kanak-kanak. Di Kementerian/Jabatan Pendidikan pula, beberapa Bahagian dan Jawatankuasa yang meliputi perkara-perkara yang dibangkitkan oleh Dasar Pendidikan Kebangsaan telah ditubuhkan atau diperkuatkan bagi memastikan tercapainya hasrat Dasar Pendidikan ini. Diantaranya termasuklah penubuhan Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Pendidikan, Bahagian Pelajaran Teknik dan Vokasional, Jawatankuasa Pusat Kurikulum, Biro Buku Teks, Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia, Jawatankuasa Perancangan Pendidikan, Bahagian Perkhidmatan, Sebaran Pendidikan dan Pusat Perkembangan Kurikulum.

Penutup
Dasar Pendidikan Kebangsaan sememangnya dapat menampung keperluan-keperluan negara buat masa ini dan masa depan. Selaras dengan hasrat negara untuk mencapai tahap negara perindustrian adalah penting rakyatnya diberikan pendidikan secucuk dengan keperluan-keperluan swasta bagi bidang-bidang tertentu seperti pengeluaran, pelancongan, perkhidmatan, dan sebagainya. Oleh itu dasar ini bukan sahaja dapat memenuhi keperluan tenaga manusia dari segi jumlah tetapi juga dari segi kualiti. Dasar ini seharusnya dapat menggalakkan lebih ramai rakyat yang terlibat secara aktif dalam bidang keusahawanan dan tidak bergantung semata-mata kepada kerajaan untuk mencari kerja. Ini adalah selaras dengan dasar kerajaan semasa yang menekankan penyertaan swasta secara aktif.


ETIKA PERGURUAN

ETIKA PERGURUAN

Klik Link untuk rujukan








Pekeliling Tatacara Pemakaian Guru Lelaki dan Perempuan


Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 6/1985 bertajuk Peraturan Pakaian Guru Di Sekolah/Pensyarah Di Maktab Perguruan, Politeknik, Lain-lain Pegawai Dan Kakitangan Perkhidmatan Pelajaran Di Pejabat Pelajaran Daerah Atau Bahagian, Jabatan Pelajaran Negeri Dan Kementerian Pelajaran bertarikh 9 Mei 1985 ada menyatakan tentang garis panduan pemakaian guru lelaki dan wanita.
Menurut surat pekeliling ini, sebagai golongan pendidik, guru-guru dan lain-lain pegawai perkhidmatan pelajaran sentiasa mencuri tumpuan pelajar dan masyarakat sama ada di dalam mahupun di luar kawasan sekolah. Golongan ini sememangnya mempunyai pengaruh yang besar ke atas pendidikan pelajar-pelajar serta masyarakat. Oleh itu, guru-guru patut mengenakan pakaian yang sesuai dan sewajarnya apabila bertugas di dalam mahupun di luar sekolah.

Di samping mengenakan pakaian yang kemas dan bersih, guru-guru perlulah memakai pakaian yang bersesuaian seiring dengan profesion sebagai seorang pendidik. Ini adalah kerana pakaian melambangkan disiplin dan imej profesion perguruan itu sendiri.

Oleh itu, berikut adalah peraturan pakaian yang telah ditetapkan:
1) Sewaktu Bertugas di Bilik Darjah

Guru Lelaki
i -  Seluar panjang dan berbaju kemeja (digalakkan bertali leher) atau 'bush-jacket' atau 'lounge suit'. Jika berlengan panjang, tangan baju itu hendaklah jangan dilipatkan. Baju hendaklah dimasukkan ke dalam.
ii - Kasut kulit atau lain-lain kasut yang sejenis dengannya.
iii - Pakaian baju melayu lengkap dengan samping, atau pakaian baju yang mirip dalam potongan baju melayu dan dipakai dengan seluar panjang.
iv - Pakaian baju melayu dengan kain sarong, 'jeans', 'track suit', seluar pendek, kemeja T/sukan, jersi, kasut sukan, baju Hawaii, baju batik, selipar, kasut getah dan lain-lain jenis pakaian yang menjolok mata, tidak boleh dipakai.

Guru Perempuan
i - Pakaian kebangsaan atau pakaian kaum masing-masing dan lain-lain jenis pakaian yang sesuai dan tidak menjolok mata.
ii - Kasut kulit, selipar, cerpu atau yang sejenis dengannya yang mempunyai bentuk yang sesuai dengan pakaian yang ditetapkan.
iii - Kasut sukan, 'jeans', 'slacks', 'track suit', kemeja T/sukan, jersi, seluar pendek dan apa-apa pakaian yang menutup muka serta lain-lain pakaian dari jenis kain jarang dan menjolok mata, tidak boleh dipakai.  

2) Sewaktu Bertugas di Luar Bilik Darjah (Ketika Menjalankan Gerakerja Pendidikan Jasmani dan Sukan) - Guru Lelaki dan Perempuan
i - 'Track suit', seluar panjang yang sesuai, seluar pendek (bagi guru lelaki sahaja), kemeja sukan, jersi, kasut getah, kasut sukan dan lain-lain pakaian yang sesuai yang tidak menghalang kecergasan gerakgeri dalam gerakerja tersebut.
ii - Kasut tumit tinggi atau kasut kulit yang mengganggu kecergasan gerakgeri, sarong ketat atau seluar ketat, cheongsam, kebaya, sari dan lain-lain pakaian dari jenis kain jarang dan menjolok mata, adalah tidak sesuai dipakai.

3) Sewaktu Menjalankan Kerja-kerja Praktik Di Bilik Makmal/Sains Rumah Tangga/Bengkel Seni Perusahaan
i - Pakaian khas, jika ada, untuk menjalankan kerja-kerja praktik di tempat-tempat berkenaan hendaklah dipakai.
ii - Seluar panjang dan berbaju kemeja. Sekiranya memakai baju berlengan panjang, lengan baju itu bolehlah dilipatkan, jika perlu.
iii - Bagi guru perempuan, jenis pakaian sewaktu bertugas di bilik darjah boleh dipakai dan hendaklah sesuai dengan jenis kerja-kerja praktik tersebut.

4) Sewaktu Bertugas Di Pejabat Sekolah/Maktab, Pejabat Pelajaran Daerah Atau Bahagian/Jabatan Pelajaran Negeri/Kementerian Pelajaran Bagi Pegawai-pegawai Perkhidmatan Pelajaran

Lelaki
i - Seluar panjang dan berbaju kemeja dan bertali leher, atau 'bush-jacket' atau 'lounge suit'. Baju hendaklah dimasukkan ke dalam dan jika berlengan panjang, tangan baju hendaklah jangan dilipatkan.
ii - Pakaian baju melayu yang lengkap dengan samping, atau pakaian baju yang mirip dengan potongan baju melayu dan dipakai dengan seluar panjang.
iii - Pada hari Sabtu atau hari bekerja separuh hari, baju batik (batik buatan Malaysia) boleh dipakai, kecuali pegawai-pegawai yang dikehendaki memakai pakaian seragam.
**Pelaksanaan kini, pemakaian baju Batik untuk penjawat awam pada setiap hari Khamis dan baju Melayu untuk lelaki pada setiap hari Jumaat.
iv - Kasut sukan, 'jeans', 'slack', seluar pendek dan apa-apa pakaian yang menutup mata atau yang menjolok mata, tidak boleh dipakai.

Perempuan
i - Pakaian kebangsaan atau pakaian kaum masing-masing dan lain-lain pakaian yang sesuai dan tidak menjolok mata.
ii - Selipar, cerpu atau yang sejenis dengannya yang mempunyai bentuk yang sesuai boleh dipakai dengan pakaian yang ditetapkan.
iii - Kasut sukan, 'jeans', 'slack', seluar pendek dan apa-apa pakaian yang menutup mata atau yang menjolok mata, tidak boleh dipakai.

5) Pakaian Seragam
- Kakitangan sekolah yang dibekalkan dengan pakaian seragam hendaklah memakai pakaian tersebut sewaktu bekerja.

6) Pakaian Batik di Sekolah (Lelaki)
- Baju batik boleh dipakai pada bila-bila masa kecuali sewaktu mengajar secara rasmi di bilik darjah atau di luar bilik darjah pada hari-hari persekolahan.

7) Sewaktu Menghadiri/Bengkel dan Lain-lain Majlis Rasmi Peringkat Daerah/Negeri dan Kementerian
- Seperti dinyatakan di atas, jika tiada peraturan pakaian khas ditetapkan.

8) Pakaian Semasa Menghadiri Upacara Rasmi (Pekeliling Perkhidmatan Bil. 2 Tahun 1985 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam)

i - Pakaian Rasmi (Formal) Untuk Lelaki
Seseorang Pegawai Awam yang berhak memakai uniform ataupun dikehendaki memakai uniform yang khas, hendaklah memakai uniform tersebut apabila menghadiri upacara-upacara rasmi. Peraturan-peraturan pakaian seperti yang telah ditetapkan melalui surat edaran yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam, JPA. SULIT. 2578/Pt. 1/35 bertarikh 8hb Jun 1970 di Lampiran 'A' mengenai Pakaian Seragam  Pegawai-pegawai Tadbir dan Professional dalam Kumpulan Pengurusan dan Ikhtisas, seperti dipinda oleh Surat Pekeliling Perkhidmatan Bil. 8 Tahun 1975, hendaklah dipatuhi pada masa menghadiri istiadat-istiadat rasmi yang menetapkan dif-dif jemputan memakai pakaian seragam atau pakaian rasmi kebangsaan. Sekiranya pegawai itu tidak mempunyai uniform, maka 'lounge suit' bolehlah dipakai, kecuali jika peraturan pakaian khas ditetapkan.

ii - Pakaian Untuk Upacara Separuh Rasmi (Lelaki)
Untuk upacara-upacara separuh rasmi yang lain, seperti menghadiri upacara-upacara pembukaan seminar, adalah diputuskan bahawa bagi peringkat kebangsaan, di mana tidak ada perwakilan daripada luar negeri, maka pakaian waktu bertugas di pejabat seperti yang ditetapkan di dalam pekeliling ini hendaklah dipakai. Untuk upacara-upacara peringkat antarabangsa, maka pakaian 'lounge suit' hendaklah dipakai.
Kesimpulannya...

1. Tali leher hanya digalakkan (bukan keperluan) dipakai ketika di dalam kelas untuk memberi keselesaan kepada guru yang mengajar, tetapi tali leher perlu dipakai ketika di dalam kawasan sekolah.
2. Tidak dibenarkan memakai purdah atau niqab (menutup muka) di sekolah.
3. Pemakaian samping tidak diperlukan apabila baju melayu dipakai dengan seluar panjang.

Untuk maklumat lanjut, boleh rujuk lampiran surat pekeliling ini di sini


PERGURUAN SEBAGAI SATU PROFESION.


PERGURUAN SEBAGAI SATU PROFESION.

1.  Pengenalan 
Sesungguhnya para pendidik hari ini telah memainkan peranan penting di dalam merealisasikan aspirasi negara dalam mewujudkan perpaduan kaum.Pendidik pada hari ini telah membuktikan bahawa mereka telah mengimbangkan kewujudan integrasi nasional yang menjamin keamanan dan kesejahteraan negara. 
Guru adalah merupakan ejen kepada keberkesanan pendidikan. Kejayaan dan keberkesanan para guru terhadap tanggungjawab, kelengkapan, keilmuan dan keluhuran peribadi. Pendidik dari kaca mata Islam merupakan murabbi,muallim, muaddib, alim atau ulamak. Mereka berfungsi bukan sahaja untuk memberi kesedaran pada diri sendiri malah juga masyarakat serta  tentang hubungan, komitmen dan hubungannya dengan Allah.Perpaduan kaum dapat dicapai sekiranya guru menerapkan nilai-nilai murni seperti saling menghormati antara satu sama lain tidak mengira bangsa dan agama. 
Sejarah tidak pernah menipu manusia dan sejarah telah membuktikan betapa golongan pendidik memainkan peranan yang penting dalam menentukan jatuh bangunnya sesebuah bangsa dan negara.Masyarakat ketika itu menjadikan guru sebagai idola dan pakar rujuk dalam segala hal. Kalau dulu guru terpaksa berhadapan dengan pihak penjajah secara terang-terangan, kini, jajahannya diterjemahkan dalam bentuk yang lain pula iaitu lebih mencabar lagi kerana ia melibatkan jajahan pemikiran, budaya dan jati diri yang perlu dihadapi secara professional dan kreatif.
Kedudukan perguruan sebagai satu profesion di dalam Dasar Pelajaran Kebangsaan turut juga dipenuhi dengan cabaran-cabaran. Para pendidik telah memperkatakan mengenai profesion perguruan dari masa ke semasa. Sebelum merdeka lagi sudah ada perbincangan mengenai perkara ini iaitu sebelum Universiti Malaya hendak ditubuhkan di Singapura (1949) terdapat satu symposium mengenai ‘Pendidikan Universiti dan Laporan Carr-Saunders’. Di dalam symposium tersebut perbincangan mengenai peranan universiti dan kedudukan profesion perguruan turut diadakan ( Lim Tay Boh 1948). Di antara perkara pokok yang dibangkitkan ialah keperluan guru-guru sekolah menengah untuk mendapat pendidikan tinggi supaya murid-murid yang bakal dididik nanti akan mempunyai mutu pendidikan yang baik. Pendidikan guru yang tinggi dan usaha melahirkan generasi muda yang baik merupakan cabaran yang kuat di dalam profesion perguruan bukan pada zaman dahulu sahaja tetapi juga masa kini. 

2.  Konsep Profesion dan nilaitaranya
Sesuatu profesion yang sebenar adalah sesuatu bidang yang mempunyai ciri-ciri seperti kepentingan kemahiran intelek, latihan iktisas yang mencukupi, khidmat yang diperlui masyarakat, menikmati otonomi individu dan kumpulan, mementingkan mutu perkhidmatan, mempunyai tatasusila perkhidmatan atau kod etika dan mempunyai organisasi tersendiri untuk menguruskan soal-soal yang berkaitan dengan pendidikan   (Lieberman 1956).
Menurut Kamus Dewan ‘profesion’ ialah suatu bidang pekerjaan khasnya yang memerlukan pendidikan dan kecekapan serta kemahiran yang tinggi dan latihan yang khas.( contohnya : perundangan, perubatan, perguruan dan lain-lain.)
Berdasarkan ciri-ciri profesion, Mok Soon Sang ( 1996 ) merumuskan secara ringkas konsep profesionalisme sebagai : 
Suatu pekerjaan yang khusus dan dijalankan oleh orang yang mempunyai kelulusan dan latihan iktisas yang cukup bermutu, bersikap jujur, dedikasi, bertanggungjawab dan bermoral tinggi, mempunyai outonomi bertugas serta mematuhi kod etika yang ditentukan oleh organisasinya.
Di negara kita perguruan ini lebih mirip kepada pekerjaan (vocation) daripada profesion ( Awang Had Salleh 1980 ).
Nilaitara-nilaitara sesuatu profesion merupakan peraturan yang ditetapkan oleh organisasi supaya setiap ahli profesional akan mematuhinya, demi mengawal kualiti dan nilaitara perkhidmatan tersebut .Nilaitara ini menjadi garis panduan dalam usaha memastikan tingkahlaku dipatuhi oleh setiap ahlinya.

3.  Aspek Keguruan Dianggap Sebagai Satu Profesion

3.1  Pengetahuan atau kemahiran yang diperolehi melaluai pembelajaran teori dan latihan amali dalam sesuatu tempoh masa yang panjang. 
Sebelum seseorang itu menjadi guru, dia perlu menerima latihan dalam perguruan untuk menjadi seorang guru yang bertauliah. Umpananya, seorang guru mesti mempunyai Sijil Perguruan atau Diploma Pendidikan yang diiktiraf oleh kerajaan Malaysia sebelum dia boleh mengajar di sekolah kerajaan. Walaubagaimanapun, samada  seseorang guru itu menerima latihan perguruan atau tidak, dia mesti mempunyai pengetahuan yang mendalam tentang mata pelajaran yang hendak diajarnya.Guru juga mesti mengetahuai keadah atau cara penyampaian dalam pengajarannya supaya murid-murid dapat memahami apa yang disampaikan olehnya. 
Di samping itu, guru haruslah mempunyai sahsiah yang baik dan dapat dihormati serta dicontohi oleh murid. Sahsiah ini termasuklah tingkah laku dan sikap yang elok, bersabar, bermurah hati dan sentiasa bersifat tenang. Kebanyakan kualiti kecerdasan dan sahsiah guru adalah hasil daripada latihan yang membolehkan seseorang guru menguruskan pengajarannya dengan berkesan. Latihan itu termasuklah kefahaman terhadap sifat kejasmanian dan sifat psiklogi kanak-kanak serta teori penyampaian pelajaran. 
Selain tugas dalam bilik darjah, guru juga mempunyai peranan-peranan lain yang diharapkan oleh masyarakat. Misalnya guru diharapkan menjadi pengganti ibubapa, menjadi penasihat dan pembimbing di dalam pembentukkan sahsiah murid, menjadi kaunselor kepada murid-murid, menjadi pengamal dan penyebar nilai kebudayaan yang elok dan seterusnya menjadi contoh sahsiah yang baik kepada masyarakat. 

3.2  Mempertingkatkan Profesionalisme  
Sebagai seorang pendidik yang bertanggungjawab, guru hari ini perlu menyedari bahawa tugas dan amanah yang diberikan itu adalah untuk mendidik generasi yang akan menerajuai negara ini. Oleh itu kemahiran dan pengetahuan mengenai method-method pendidikan harus diperkemaskan dari semasa ke semasa . Untuk mendepani cabaran dan tuntutan daripada perubahan-perubahan kurikulum berkenaan, guru hendaklah berusaha melengkapkan diri dengan strategi-strategi pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik. 
 Sehubungan dengan kehendak tersebut guru harus mengikuti kursus-kursus pendidikan yang dianjurkan oleh pihak Kementerian Pendidikan , Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah. Contohnya para guru boleh mengikuti Kursus Dalam Perkhidmatan ataupun Kursus Peningkatan Profesionalisme Keguruan.Kursus-kursus pendidikan yang dihadiri penting bagi seseorang guru untuk mempertingkatkan keupayaan dan prestasi dalam profesion pendidikan yang kian mencabar dan kompleks ini. Memandangkan keperluan pendidikan untuk menyokong usaha-usaha kerajaan, maka profesion keguruan diharapakan dapat membuat anjakan paradigma kepada budaya yang berasaskan ilmu dan pemikiran( Rohani Abdul Hamid,1998)

3.3  Berupaya Membuat Keputusan dan Menyelesaikan  Masalah Serta Berfikiran Kritis dan Kreatif  
 Profesion keguruan sememangnya bidang kerjaya yang bukan sahaja mengajar atau mendidik anak bangsa, malah lebih daripada itu. Individu yang terlibat dalam profesion keguruan sebenarnya akan terlibat sebagai pentadbir, pengurus, perancang, pelaksana, penilai, penyelia, pengawal dan sebagainya.Sebagai pentadbir ataupun pengurus, guru harus boleh membuat sesuatu keputusan dalam melaksanakan sesuatu tindakan dan menilai semula hasil sesuatu perkara yang dijalankan.Perubahan-perubahan dalam kurikulum pendidikan juga memerlukan guru untuk menguasai kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif. Pendekatan ini bukan sahaja perlu digunakan oleh guru dalam pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah,tetapi jika perlu keadah berfikir secara kritis dan kreatif boleh diaplikasikan dalam pentadbiran,mengurus ataupun dalam perancangan sesuatu program.

3.4  Mahir  Menggunakan IT 
 Bidang pendidikan sentiasa berkembang dan mengalami perubahan mengikut tuntutan zaman, perkembangan pesat percantuman teknologi-teknologi telekomunikasi dan internet serta globalisasi dunia telah banyak membawa banyak cabaran kepada kita. Kita tidak dapat menyangkal betapa cepatnya IT merubah dunia pembelajaran umpamanya muncul pembelajaran melalui ‘online’. Para guru pada hari ini telah bersikap produktif, proaktif dan responsive terhadap perkembangan kecanggihan teknologi yang telah banyak mengajar anak bangsa kita supaya menjadi satu bangsa yang maju. Ilmu dan kemahiran dalam teknologi info-komunikasi yang dikuasai guru dapat digunakan sebagai pemankin kearah menghasilkan pendidikan yang cemerlang dan berkualiti.Sebagai pemangkin, guru menggunakan teknologi info-komunikasi bukan hanya untuk menyampaikan ilmu di dunia semata-mata tetapi juga untuk meraih kepentingan ilmu akhirat kerana pendidikan berkualiti hanya akan dapat dicapai melalui keseimbangan dalam kedua-dua ilmu tersebut. 
 Hasrat Malaysia untuk menjadi negara maju pada tahun 2020, menyebabkan pembangunan negara bergerak dengan rancak. Pelbagai usaha dijalankan oleh kerajaan untuk membangunkan teknologi maklumat seperti koridor raya multimedia [ multimedia super corridor (MSC)] yang menjadi pusat telekomunikasi dan penyiaran serantau dan antarabangsa. Hal yang sama juga berlaku dalam kurikulum pendidikan  di negara ini, komputer telah dijadikan sebagai satu kurikulum di sekolah. Penubuhan sekolah bestari yang berteraskan penggunaan komputer merupakan salah satu bentuk kurikulum yang memerlukan profesion keguruan tahu dan menguasai teknologi maklumat. Penggunaan komputer dalam pendidikan membawa satu reformasi serta perkembangan baru dalam pelbagai bidang pendidikan, khasnya dalam teknologi pendidikan, teori pendidikan, teori-teori pengajaran-pembelajaran, pengurusan sekolah, sistem pentadbiran pendidikan serta kemahiran dan latihan guru ( Mok Soon Sang, 1996). 
  Dalam era teknologi maklumat seperti sekarang, kita berhadapan dengan pelbagai peralatan elektronik dalam kehidupan harian, malah kemudahan teknologi telah menjadi satu cara hidup seperti penggunaan pengangkutan berasaskan teknologi  (LRT), perkhidmatan bank ( kad ATM), telekomunikasi (telefon bimbit), hiburan ( Video, VCD) dan lain-lain. Jadi rakyat negara ini harus dapat menangani  kehidupan di era teknologi maklumat sehingga teknologi itu menjadi sebahagian daripada amalan biasa tanpa disedari. Oleh itu, profesion keguruan harus memperlengkapkan diri secara global dalam perkembangan  penggunaan teknologi maklumat dalam kurikulum di sekolah. 
 
3.5  Berpengetahuan dan Berdaya Fikir Serta Berakhlak    
 Seseorang guru dalam profesion keguruan ini perlu serba tahu. Guru diharapakan dapat mambawa isu-isu semasa untuk perbincangan dan mencari penyelesaiannya bersama-sama pelajar di dalam kelas. Contohnya, di Malaysia kadar kemalangan jalan raya adalah tinggi, pendidikan memandu kereta adalah satu perkara yang dipandang serius oleh kerajaan pada masa ini. Keselamatn di jalan raya dan cara-cara memandu yang selamat dan bertimbang rasa boleh dibincangkan di dalam kelas untuk menyedarkan pelajar tentang keperluan memperbaiki situasi yang terdapat sekarang, dengan harapan mereka tidak akan berkelakuan sedemikian apabila mereka menjadi pemandu kelak. 
 Melaluai pembacaan guru dapat menambah ilmu pengatahuan mengenai isu-isu semasa,  sama ada yang berkaitan dengan kekeluargaan dan komuniti, janayah : seperti peras ugut, pecah rumah, penculikan dan seumpamanya ; ekonomi : urusan perniagaan, jual-beli saham, hartanah dan sebagainya ; politik : hubungan negara di peringkat antarabangsa dan juga pergolakan politik sesebuah negara. Dalam hal seperti ini, guru diharapkan dapat menggunakan kebijaksanaan dan inisiatif sendiri dalam menggunakan isu-isu semasa untuk dikaji dan dibincangkan dengan pelajar.  
 Dalam perubahan-perubahan sistem pendidikan yang semakin mencabar ini, profesion keguruan juga perlu menyediakan diri dengan amalan nilai dan akhlak yang terpuji. 
 Dalam kurikulum pendidikan peringkat rendah dan menengah telah ditegaskan nilai-nilai murni perlu diterapkan dalam pengajaran. Pelaksanaan penerapan nilai penting untuk menyediakan para pelajar menjadi warga yang berguna kepada negara pada masa hadapan. Hal yang sama juga perlu dihayati oleh guru. Enam belas nilai murni yang disarankan dalam kurikulum pendidikan perlu dimiliki oleh guru terlebih dahulu. 
 
4.  Penutup  
 Sistem pendidikan di negara ini akan sentiasa bergerak maju ke hadapan. Perubahan-perubahan yang dilakukan dalam kurikulum pendidikan adalah untuk memenuhi kehendak negara merealisasikan sebuah negara maju pada masa hadapan. Setiap perubahan-perubahan dalam kurikulum pendidikan yang diperkenalkan menjadi satu bentuk cabaran dalam profesion keguruan. Oleh itu adalah mustahak bagi individu yang berkecimpung dalam bidang ini sentiasa berusaha mempertingkatkan kecekapan, kebolehan prestasi dari semasa ke semasa. Jika hal ini wujud, barulah tuntutan-tuntutan dalam perubahan kurikulum itu dapat ditangani. 
 Namun kini sejauh mana kita mengiktiraf dan memartabatkan perguruan sebagai satu profesion adalah bergantung kepada anggapan masyarakat, ini kerana masih ada lagi yang menganggap profesion perguruan sebagai kelas kedua.Adakah peranan guru semakin hilang taringnya kerana masyarakat telah mengalih pandangan kepada kerjaya yang diiktiraf sebagai professional oleh pihak kerajaan seperti doktor, peguam dan arkitek? 
 Dalam konteks ini pihak kerajaan perlu bersungguh-sungguh dalam menjadikan profesion perguruan sebagai profesion yang unggul dan disegani ramai. Menurut Dr. Muhamad Hasan Abdul Rahman iaitu Timbalan Dekan Pelajar dan Pembangunan, Fakulti Pengajian Pendidikan Universiti Putra Malaysia (UPM) beliau menegaskan dalam usaha untuk memartabatkan profesion perguruan  selain daripada peranan pihak Kementerian Pendidikan, Persatuan Perguruan dan masyarakat, para guru sebenarnya mempunyai tanggungjawab yang besar dalam meningkatkan aspek keprofesionalannya dengan melengkapkan diri dengan pelbagai jenis ilmu dan kemahiran yang tinggi. 

Rujukan
Amir Hasan Dawi, 2002. Penteorian sosiologi dan pendidikan. Tanjung Malim :     Quantum Books.
Ee Ah Meng, 1994. Perkembangan dan pelaksanaan kurikulum. Kuala Lumpur : Fajar Bakti.
Awang Had Salleh, 1980. “ Keguruan dan perguruan di Malaysia: keperihalan kini dan arah yang dituju”. KONPEN V, Johor Bharu 6-8 Disember.
Mok Soon Sang, 1996. Pendidikan di Malaysia. Kuala Lumpur : Kumpulan Budiman.
Sufean Hussin, 1993. Pendidikan di Malaysia : sejarah, sistem dan falsafah. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka. 


KONSEP PROFESION DAN PROFESIONALISME

Profesion merujuk kepada pekerjaan yang melaksanakan fungsi sosial yang penting.

Profesional ialah ciri - ciri atau atribut yang terdapat dalam kalangan ahli dalam profesion.

Seorang profesional harus berpengetahuan dan perlu melalui pendidikan formal ke tahap yang tinggi dan dikawal oleh satu kod etika.

Ciri - ciri Seorang Profesional:

1. asas pengetahuan mendalam
2. komitmen untuk memenuhi keperluan klien
3. identiti kuat secara kolektif (komitmen profesional)
4. Autonomi profesional (Talbert & Mc Laughlin, 1994)

Guru yang profesional mesti mempunyai pengetahuan dari segi kandungan, pengetahuan kandungan pedagogi dan pedagogi asas.


CIRI - CIRI GURU PROFESIONAL

Guru berwibawa (Model Guru Profesional, Mohamad Sani 1998)

Sahsiah:
-bertaqwa
-berakhlak
-berperibadi mulia
-mempunyai komitmen
-bersopan santun
-bersikap positif
-berkebolehan memimpin
-mengamalkan budaya ilmu

Ilmu
-isi kandungan mata pelajaran
-pengetahuan kandungan pedagogi
-bahan
- kaedah
-teknolgi

Ketrampilan
-merancang, mengurus dan memilih strategi P&P
-merangsang P&P
-kemahiran teknolgi
-kemahiran generik
-kemahiran kaunseling
-menilai P&P

CIRI - CIRI GURU BERKESAN (Abdul Shukor Abdullah, 1998)

1. bersikap profesional
2. mempamerkan ciri - ciri kekuatan teori
3. kaya dengan ilmu
4. bertindak atas landasan etika dan tatasusila kerja
5. bermoral teguh
6. sentiasa berusaha meningkatkan kualiti hasil pengajaran
7. prihatin dengan kehendak murid dan ibu bapa
8. berkebolehan menilai kekuatan dan kelemahan murid
9. melengkapkan diri dengan kemahiran yang sejajar dengan tuntutan semasa
10. Menampilkan watak terpuji, berimej, berperibadi mulia dan berwawasan sebagai pendidik unggul pada setiap masa
11. memastikan situasi guru mengajar murid belajar di dalam kelas
12. berupaya melahirkan persekolahan berwatak
13. berupaya membina minda pelajar yang cemerlang akademik
14. berupaya membentuk perwatakan murid dengan pelbagai keteguhan nilai diri
15. taat dan setia terhadap perkhidmatannya serta mempertahankan martabat profesionnya
16. menunjukkan kesetiaan kepada kerajaan, bebas pendirian dan tidak berbelah bahagi
17. Profesional dan menumpukan perhatian kepada P&P sekolah


McEwan (2002): 10 Tret Guru yang amat berkesan

1. Dorongan oleh Misi dan Passionate
2. Positif dan Benar
3. Guru sebagai pemimpin
4. With - it - ness
5. Gaya
6. Kepakaran dalam Motivasi
7. Keberkesanan Pengajaran (Instructional Effectiveness)
8. Budaya Membaca/Pembelajaran Kandungan (Book Learning)
9. Street Smarts (Pintar)
10. Kehidupan Mental/celik minda (Mental life)

Sunday, 6 January 2019

AMANAT TAHUN BAHARU 2019
YBrs. Dr. RUSMINI KU AHMAD
REKTOR
INSTITUT PENDIDIKAN GURU MALAYSIA


IPG melangkah ke hadapan: 
Perkasa keilmuan dan kesarjanaan pendidik guru
Tahun 2018 adalah satu tahun yang amat bersejarah bagi rakyat Malaysia kerana pada 9 Mei 2018, pemerintahan kerajaan persekutuan yang diterajui oleh Barisan Nasional selama 61 tahun telah sampai ke penghujungnya dan kini. kita mengorak langkah ke arah Malaysia Baharu. Bukanlah hasrat saya untuk membincangkan perihal politik ini tetapi segala matlamat ke arah menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju menjelang 2020 seperti yang termaktub dalam Rancangan Malaysia Kesebelas 2016–2020 perlu komitmen kita semua.  Salah satu daripada enam teras dalam pelan komprehensif ini bertujuan untuk menghasilkan modal insan dengan pengetahuan, kemahiran dan sikap untuk berjaya dalam ekonomi global.
      Modal insan yang baik berasal daripada sistem pendidikan yang baik. Sistem pendidikan yang baik mestilah datang daripada pendidikan yang berkualiti khususnya kualiti guru. Guru yang berkualiti terhasil daripada sistem latihan guru yang cemerlang. Semua elemen dalam rantaian sistem pendidikan bermula dengan kualiti latihan guru. Oleh itu, penyediaan guru yang berkualiti terutamanya di sekolah rendah adalah penting untuk mengukuhkan sistem pendidikan negara dalam usaha membangun modal insan yang cemerlang menjelang tahun 2020.
      IPG sebagai pembekal dan penyedia latihan guru untuk guru pra-perkhidmatan di sekolah rendah telah diamanahkan untuk melatih lepasan SPM yang cemerlang sejak tahun 2014. Sejak itu, kira-kira 96 peratus pelajar SPM yang terpilih adalah dengan kelayakan minimum 5A.  Pendidikan berkualiti memerlukan calon guru yang berpotensi serta cemerlang untuk dilatih secara sistematik dan berkualiti di IPG. Untuk mencapai matlamat ini, Pelan Transformasi IPG 2016-2025 telah menyediakan strategi untuk mencapai visi dan misi IPG selaku satu institusi latihan guru terbaik dan bertaraf dunia. Inisiatif-inisiatif di bawah Program Transformasi IPG dikategorikan kepada lapan kluster. Antaranya adalah transformasi organisasi dan kepimpinan, meningkatkan kualiti pensyarah, membudayakan penyelidikan dan inovasi, meningkatkan infrastruktur, mengukuhkan dan memperluaskan kualiti kurikulum, meningkatkan kualiti pelajar, pengantarabangsaan dan memperkasa perkembangan profesional guru.
      Sehubungan dengan itu, kepimpinan di IPG perlu seiring dengan bidang keilmuan dan kesarjanaan yang telah diterapkan dalam latihan guru. Kualiti kepimpinan IPG mestilah mencerminkan budaya akademik unggul dan mempunyai budaya ilmiah yang tinggi melalui penyelidikan, seminar, penulisan buku serta penerbitan dalam pelbagai wacana akademik yang lain. Ini hanya dapat direalisasikan melalui penghayatan budaya membaca dalam kalangan warga IPG.
      Membina budaya membaca adalah asas dalam kalangan ahli akademik kerana ia mencerminkan sikap terhadap pembelajaran dan pembangunan profesional. Memupuk tabiat membaca dalam kalangan kepimpinan, pensyarah dan pelajar IPG adalah penting sebagai langkah ke hadapan dalam menempuh segala cabaran yang mendatang.
      Kementerian Pendidikan juga telah mengisytiharkan tahun 2020 hingga 2030 sebagai Dekad Membaca Negara. Kempen ini telah bermula pada tahun ini sehingga tahun 2030. Oleh itu, keperluan untuk membaca bahan yang betul sama ada dalam bentuk cetakan atau digital adalah penting.  Kualiti bahan bacaan yang dipilih dan dibaca oleh warga IPG juga tidak kurang pentingnya. Para pensyarah akademik di IPG mesti boleh membezakan antara bahan bacaan yang berharga dan bahan yang tidak relevan. Pelbagai buku dari genre yang berbeza, iaitu sains, falsafah, pendidikan, sejarah, pengurusan akan memperluas dan mempertajam kemahiran berfikir kita. Kita seharusnya berhati-hati dengan budaya perkongsian dan penyampaian maklumat yang tidak sahih dan palsu sesama kita melalui media sosial kerana ini amat merugikan masa semua pihak.
      Pepatah Jepun ada menyatakan, "Jika anda hanya membaca buku yang dibaca oleh orang lain, anda hanya boleh berfikir seperti apa yang orang lain berfikir". Untuk menjadi hebat, anda perlu juga membaca buku yang jarang dibaca oleh orang lain. Ia juga sesuatu yang luar biasa apabila rangkaian perpustakaan di Helsinki, Finland menjadi perkhidmatan awam tertinggi kedua selepas perkhidmatan air minuman. Perpustakaan sangat digemari di Finland kerana 5.5 juta rakyatnya membaca lebih 68 juta buku setahun.
     Sebagai institusi pendidikan guru yang tersohor, ahli akademik IPG harus menerapkan budaya pembelajaran profesional yang berterusan dalam kalangan pelajar IPG sepertimana guru-guru di negara maju seperti Singapura, Jepun, Finland dan Estonia yang mengamalkan pembelajaran nilai profesional sebagai satu cara untuk mendorong kecemerlangan dalam sistem pendidikan mereka.
     Salah satu strategi untuk memupuk inovasi dan kreativiti dalam kalangan pelajar IPG ialah melalui aktiviti penyelidikan. Pelajar yang mempunyai kemahiran penyelidikan yang baik pasti akan berupaya membuat keputusan, menganalisis cabaran dan memberikan cadangan secara profesional. Terdapat banyak strategi dalam meningkatkan pengetahuan, sikap dan kemahiran pelajar dalam menyediakan mereka untuk revolusi perindustrian keempat (4IR). Pedagogi baharu untuk pembelajaran secara mendalam yang memberi tumpuan kepada contoh kehidupan sebenar dan menyelesaikan masalah sebenar dapat membantu pelajar membuat hubungan antara konsep atau teori dan aplikasi. Pedagogi ini akan meningkatkan daya saing pelajar dan kreativiti mereka untuk menjadi pelajar serta bakal guru  yang berpengetahuan luas.
      Pada tahun 2019 ini, marilah kita beriltizam dan berusaha secara kolektif untuk memacu IPG menjadi sebuah pusat kecemerlangan dan institusi terkemuka dalam pendidikan guru. Sebagai warga IPG, marilah kita berjanji bahawa kita akan:
  • meningkatkan kualiti perkhidmatan dengan memberikan yang terbaik;
  • berkongsi pengetahuan dan amalan terbaik dalam pendidikan guru;
  • melaksanakan budaya ilmu dan kesarjanaan dengan memberi tumpuan kepada penyelidikan dan penerbitan, dan mengamalkan wacana akademik profesional;
  • membuat inovasi atas kaedah pedagogi dan menterjemahkannya melalui pengajaran dan pembelajaran di sekolah;
  • bekerjasama dan menanda aras institusi tempatan dan antarabangsa dalam meningkatkan amalan pengajaran;
  • membangunkan pelajar kami untuk menjadi guru berdedikasi dan pelajar sepanjang hayat;
  • melaksanakan pembelajaran profesional yang berterusan; dan,
  • berusaha keras dan bekerja dengan penuh integriti untuk menegakkan imej IPG.
     Akhir sekali, saya ingin mengucapkan Selamat Tahun Baharu kepada semua warga IPG, bekerjalah secara ikhlas, cekap, produktif dan berlandaskan pengetahuan serta yang paling penting, agar kita kekal sihat.

Salam Tahun Baharu 2019





MEMARTABATKAN PROFESION GURU DI ERA MALAYSIA BAHARU | MHI (4 Oktober 2018)