IPG melangkah ke hadapan:
Perkasa keilmuan dan kesarjanaan pendidik guru
Perkasa keilmuan dan kesarjanaan pendidik guru
Tahun 2018 adalah satu tahun yang amat bersejarah bagi rakyat Malaysia kerana pada 9 Mei 2018, pemerintahan kerajaan persekutuan yang diterajui oleh Barisan Nasional selama 61 tahun telah sampai ke penghujungnya dan kini. kita mengorak langkah ke arah Malaysia Baharu. Bukanlah hasrat saya untuk membincangkan perihal politik ini tetapi segala matlamat ke arah menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju menjelang 2020 seperti yang termaktub dalam Rancangan Malaysia Kesebelas 2016–2020 perlu komitmen kita semua. Salah satu daripada enam teras dalam pelan komprehensif ini bertujuan untuk menghasilkan modal insan dengan pengetahuan, kemahiran dan sikap untuk berjaya dalam ekonomi global.
Modal insan yang baik berasal daripada sistem pendidikan yang baik. Sistem pendidikan yang baik mestilah datang daripada pendidikan yang berkualiti khususnya kualiti guru. Guru yang berkualiti terhasil daripada sistem latihan guru yang cemerlang. Semua elemen dalam rantaian sistem pendidikan bermula dengan kualiti latihan guru. Oleh itu, penyediaan guru yang berkualiti terutamanya di sekolah rendah adalah penting untuk mengukuhkan sistem pendidikan negara dalam usaha membangun modal insan yang cemerlang menjelang tahun 2020.
IPG sebagai pembekal dan penyedia latihan guru untuk guru pra-perkhidmatan di sekolah rendah telah diamanahkan untuk melatih lepasan SPM yang cemerlang sejak tahun 2014. Sejak itu, kira-kira 96 peratus pelajar SPM yang terpilih adalah dengan kelayakan minimum 5A. Pendidikan berkualiti memerlukan calon guru yang berpotensi serta cemerlang untuk dilatih secara sistematik dan berkualiti di IPG. Untuk mencapai matlamat ini, Pelan Transformasi IPG 2016-2025 telah menyediakan strategi untuk mencapai visi dan misi IPG selaku satu institusi latihan guru terbaik dan bertaraf dunia. Inisiatif-inisiatif di bawah Program Transformasi IPG dikategorikan kepada lapan kluster. Antaranya adalah transformasi organisasi dan kepimpinan, meningkatkan kualiti pensyarah, membudayakan penyelidikan dan inovasi, meningkatkan infrastruktur, mengukuhkan dan memperluaskan kualiti kurikulum, meningkatkan kualiti pelajar, pengantarabangsaan dan memperkasa perkembangan profesional guru.
Sehubungan dengan itu, kepimpinan di IPG perlu seiring dengan bidang keilmuan dan kesarjanaan yang telah diterapkan dalam latihan guru. Kualiti kepimpinan IPG mestilah mencerminkan budaya akademik unggul dan mempunyai budaya ilmiah yang tinggi melalui penyelidikan, seminar, penulisan buku serta penerbitan dalam pelbagai wacana akademik yang lain. Ini hanya dapat direalisasikan melalui penghayatan budaya membaca dalam kalangan warga IPG.
Membina budaya membaca adalah asas dalam kalangan ahli akademik kerana ia mencerminkan sikap terhadap pembelajaran dan pembangunan profesional. Memupuk tabiat membaca dalam kalangan kepimpinan, pensyarah dan pelajar IPG adalah penting sebagai langkah ke hadapan dalam menempuh segala cabaran yang mendatang.
Kementerian Pendidikan juga telah mengisytiharkan tahun 2020 hingga 2030 sebagai Dekad Membaca Negara. Kempen ini telah bermula pada tahun ini sehingga tahun 2030. Oleh itu, keperluan untuk membaca bahan yang betul sama ada dalam bentuk cetakan atau digital adalah penting. Kualiti bahan bacaan yang dipilih dan dibaca oleh warga IPG juga tidak kurang pentingnya. Para pensyarah akademik di IPG mesti boleh membezakan antara bahan bacaan yang berharga dan bahan yang tidak relevan. Pelbagai buku dari genre yang berbeza, iaitu sains, falsafah, pendidikan, sejarah, pengurusan akan memperluas dan mempertajam kemahiran berfikir kita. Kita seharusnya berhati-hati dengan budaya perkongsian dan penyampaian maklumat yang tidak sahih dan palsu sesama kita melalui media sosial kerana ini amat merugikan masa semua pihak.
Pepatah Jepun ada menyatakan, "Jika anda hanya membaca buku yang dibaca oleh orang lain, anda hanya boleh berfikir seperti apa yang orang lain berfikir". Untuk menjadi hebat, anda perlu juga membaca buku yang jarang dibaca oleh orang lain. Ia juga sesuatu yang luar biasa apabila rangkaian perpustakaan di Helsinki, Finland menjadi perkhidmatan awam tertinggi kedua selepas perkhidmatan air minuman. Perpustakaan sangat digemari di Finland kerana 5.5 juta rakyatnya membaca lebih 68 juta buku setahun.
Sebagai institusi pendidikan guru yang tersohor, ahli akademik IPG harus menerapkan budaya pembelajaran profesional yang berterusan dalam kalangan pelajar IPG sepertimana guru-guru di negara maju seperti Singapura, Jepun, Finland dan Estonia yang mengamalkan pembelajaran nilai profesional sebagai satu cara untuk mendorong kecemerlangan dalam sistem pendidikan mereka.
Salah satu strategi untuk memupuk inovasi dan kreativiti dalam kalangan pelajar IPG ialah melalui aktiviti penyelidikan. Pelajar yang mempunyai kemahiran penyelidikan yang baik pasti akan berupaya membuat keputusan, menganalisis cabaran dan memberikan cadangan secara profesional. Terdapat banyak strategi dalam meningkatkan pengetahuan, sikap dan kemahiran pelajar dalam menyediakan mereka untuk revolusi perindustrian keempat (4IR). Pedagogi baharu untuk pembelajaran secara mendalam yang memberi tumpuan kepada contoh kehidupan sebenar dan menyelesaikan masalah sebenar dapat membantu pelajar membuat hubungan antara konsep atau teori dan aplikasi. Pedagogi ini akan meningkatkan daya saing pelajar dan kreativiti mereka untuk menjadi pelajar serta bakal guru yang berpengetahuan luas.
Pada tahun 2019 ini, marilah kita beriltizam dan berusaha secara kolektif untuk memacu IPG menjadi sebuah pusat kecemerlangan dan institusi terkemuka dalam pendidikan guru. Sebagai warga IPG, marilah kita berjanji bahawa kita akan:
- meningkatkan kualiti perkhidmatan dengan memberikan yang terbaik;
- berkongsi pengetahuan dan amalan terbaik dalam pendidikan guru;
- melaksanakan budaya ilmu dan kesarjanaan dengan memberi tumpuan kepada penyelidikan dan penerbitan, dan mengamalkan wacana akademik profesional;
- membuat inovasi atas kaedah pedagogi dan menterjemahkannya melalui pengajaran dan pembelajaran di sekolah;
- bekerjasama dan menanda aras institusi tempatan dan antarabangsa dalam meningkatkan amalan pengajaran;
- membangunkan pelajar kami untuk menjadi guru berdedikasi dan pelajar sepanjang hayat;
- melaksanakan pembelajaran profesional yang berterusan; dan,
- berusaha keras dan bekerja dengan penuh integriti untuk menegakkan imej IPG.
No comments:
Post a Comment